Configure HTML/JavaScripf

Thursday, January 7, 2016

KEPENTINGAN KONSEP 1 MALAYSIA


Image result for i malaysia








  Saban hari masyarakat dihidangkan dengan berita tentang konsep 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu YAB Datuk Seri Najib Tun Razak. Konsep
ini bukanlah suatu perkara baru, sebaliknya merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan untuk memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara yang sudah
dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

  Konsep ini diilhamkan berdasarkan keadaan berbilang kaum hidup dengan aman di Malaysia serta prinsip ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Konsep ini bertujuan menjana perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia dan melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu. Konsep 1 Malaysia dikatakan signifi kan kerana konsep ini dapat menghapuskan perselisihan faham antara kaum serta dapat merapatkan hubungan antara kaum.

  Misalnya orang Cina dapat lebih memahami tentang budaya dan adat resam orang Melayu jika hubungan rapat diwujudkan di antara mereka. Secara langsung, perselisihan faham di antara kaum juga dapat dihapuskan. Selain itu, konsep 1 Malaysia turut memajukan ekonomi di negara Malaysia. Hal ini disebabkan keadaan perpaduan yang dilahirkan daripada konsep 1 Malaysia akan menarik pelabur atau syarikat luar negara untuk melabur di Malaysia.

   Di samping itu, konsep 1 Malaysia juga dapat menjana transformasi di Malaysia. Kebanyakan penduduk di desa mempunyai fi kiran yang kolot serta lama. Jika konsep 1 Malaysia dapat ditanam di kalangan mereka, mereka akan dapat menerima transformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan.Selain itu, dalam konsep 1 Malaysia, semua rakyat tidak mengira kaum boleh mendapat bidaan projek pembangunan kerajaan dengan adil dan saksama.

  Seterusnya, indoktrinasi konsep 1 Malaysia turut akan menjamin keadaan politik stabil di Malaysia. Pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik mereka. Hal ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan pemimpin mahupun rakyat.

   Rentetan itu, konsep 1 Malaysia ini pun boleh melahirkan pemimpin yang berwibawa serta menitikberatkan perpaduan di Malaysia pada masa kelak. Hal ini disebabkan kanak-kanak hari ini yang disemaikan dengan konsep 1 Malaysia berkemungkinan menjadi seorang pemimpin pada suatu hari nanti. Disebabkan konsep 1 Malaysia yang telah disemaikan sejak kecil, mereka akan menghormati adat resam kaum lagi.

  Secara langsung, rakyat akan dipengaruhi oleh sikap pemimpin tersebut serta mengambilnya
sebagai teladan dalam kehidupan. Dengan ini, perpaduan antara rakyat dapat dikekalkan selama-lamanya.

  Akhirnya, reputasi negara Malaysia dapat dipertingkatkan melalui konsep 1 Malaysia. Warren Edward Buffett, seorang pelabur yang terkenal di dunia pernah berkata “anda memerlukan lebih daripada 20 tahun untuk membina reputasi tetapi untuk memusnahkannya, anda hanya memerlukan masa lima minit”. Oleh itu, adalah mustahak bagi kita untuk menjaga reputasi negara. Konsep 1 Malaysia yang menjana perpaduan memang dapat mengharumkan nama Malaysia.

  Deduksinya, konsep 1 Malaysia adalah mustahak bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Oleh itu, konsep 1 Malaysia perlu didukung semua pihak untuk memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi. Diharapkan semua rakyat Malaysia berganding bahu untuk berusaha agar konsep 1 Malaysia menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata sahaja.









No comments:

Post a Comment